GEORGETOWN: Parti Bersama Malaysia (MU) beranggapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin wajar berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri interim dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
Dalam kenyataan di sini hari ini, parti itu memaklumkan turut menyokong penuh keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi yang dibuat berdasarkan kegagalan-kegagalan kerajaan sedia ada antaranya menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan serius rakyat.
Katanya, kegagalan itu termasuk polisi-polisi yang tidak konsisten, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang separa masak dan berubah-ubah sehingga rakyat dikurung secara sia-sia selama hampir enam bulan tanpa pembelaan yang sewajarnya.
“Pelaksanaan PKP penuh yang separa masak hanya menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada lebih 5,768 dalam tempoh 38 hari setelah Perdana Menteri mengumumkannya,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga disifatkan gagal mempertahan sistem demokrasi berparlimen hingga sanggup mengenetepikan segala amalan demokrasi membabitkan semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat.
Katanya, ia terutama dalam memantau segala inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik termasuk aspek perbelanjaan, perolehan dan segala usaha vaksinasi.
“Kerajaan juga jelas memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu hingga terpaksa berulang kali mengeluarkan kenyataan media dan titah menghadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Dalam pada itu, kata kenyataan itu, MU turut menyokong keputusan UMNO yang mengekalkan pendirian untuk tidak sesekali menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri mahupun menyokong kerajaan yang ditunjangi PH-DAP. – UTUSAN ONLINE