JOHOR BAHRU: Pertubuhan Kebajikan Insan Sejagat Negeri Johor memohon sumbangan orang ramai bagi membantu mereka terus menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah Muslim di negeri ini secara percuma.
Pengerusinya, Zulnizam Zainal Abidin, 36, memberitahu, perkhidmatan yang disediakan di bawah nama Van Jenazah Johor Bahru Percuma itu telah dimulakan sejak empat tahun lalu.
Katanya, inisiatif berkenaan dimulakan beliau dan sekumpulan rakan-rakan bagi membantu meringankan beban waris khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Sebelum pandemik Covid-19 melanda, kebiasaannya kami menerima sekitar 20 permohonan sebulan, namun sejak baru-baru ini jumlah itu semakin meningkat termasuklah jenazah pesakit Covid-19.
“Beberapa bulan kebelakangan ini, setiap hari kami menguruskan antara tiga atau empat jenazah sehari dan kami kekurangan dana untuk menerima permintaan pelbagai pihak, sama ada pihak hospital mahupun keluarga waris sendiri.
“Sehubungan itu, kami memohon sumbangan orang awam untuk sama-sama membantu kami menyediakan perkhidmatan ini buat keluarga yang kurang berkemampuan menguruskan jenazah ahli keluarga mereka,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE