PUTRAJAYA: Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dilantik sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan tempat beliau sebagai Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) diambil alih Tan Sri Mohd. Bakke Salleh berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan sedang meneruskan program mentransformasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya terus kukuh dan bersedia menghadapi fasa pemulihan pasca Covid-19 dalam norma baharu.
Jelasnya, perubahan itu dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Berhubung perubahan kedua-dua jawatan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi Petronas.
“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di Petronas dalam pelbagai jawatan, beliau berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik Covid-19.
“Petronas masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan merupakan syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500,” katanya hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan, Ahmad Nizam akan kekal sebagai Pengerusi kumpulan syarikat KLCC.
Katanya, pengalaman beliau di Petronas dan dalam pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan bumiputera terhadap hartanah komersial negara.
“Mohd. Bakke merupakan ahli korporat yang berpengalaman luas dan berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.
“Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa Petronas melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya. – UTUSAN ONLINE