Mohamed Apandi, Tun M dinasihat selesai secara baik - Utusan Malaysia

Mohamed Apandi, Tun M dinasihat selesai secara baik

1MDB Najib Jho Low
MOHAMED APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua tokoh negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dinasihatkan untuk menyelesaikan secara baik kes saman yang difailkan oleh bekas Peguam Negara itu yang mendakwa dirinya dipecat secara salah melalui proses mediasi.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu, Datuk Baljit Singh Sidhu ketika dihubungi media selepas pengurusan kes terbabit yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar.

Peguam terbabit bagaimanapun memaklumkan tarikh mediasi tersebut masih belum ditetapkan. Pada prosiding semalam, mahkamah turut menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes lanjutan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi bagaimanapun memberitahu, cadangan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut tidak dipersetujui pihak Jabatan Peguam Negara.

“Pihak plaintif (Mohamed Apandi) bersetuju dengan cadangan itu tetapi kami tidak,” jelasnya.

Pada 13 Oktober lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua atas dakwaan bekas Perdana Menteri itu telah menyalahgunakan kuasanya sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara, dua tahun lalu.

Pemecatan tersebut dakwa Mohamed Apandi, telah menyebabkan beliau kehilangan punca pendapatan bagi tempoh 27 Julai 2018 hingga 26 Julai 2021, elaun keraian, perumahan, perubatan, Elaun Khas Peguam Negara, pampasan cuti dan faedah-faedah lain berjumlah melebihi RM2 juta.

Pada 14 November 2020, Tun Mahathir dan kerajaan dalam pembelaan pernyataan pembelaan mereka menyangkal dakwaan Mohamed Apandi dan menyatakan penamatan kontrak bekas Peguam Negara dibuat berlandaskan undang-undang, sah dan tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

Kedua-dua defendan mendakwa tuntutan Mohamed Apandi yang merupakan plaintif dalam saman itu tidak bermerit serta tersalah dari segi fakta dan undang-undang dan tidak berhak untuk mendapatkan relif-relif yang dipohon.

Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Mohamed Apandi untuk mendapatkan surat atau dokumen menunjukkan perkenan Yang di-Pertuan Agong berkaitan penamatan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara pada 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya