PETALING JAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan menganjurkan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 hujung tahun ini.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, liga itu akan diadakan pada bulan Disember dan butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
“Kami akan melihat ini adalah permulaan kami mahu mengadakan satu liga yang mantap dan pemain terbaik seluruh negara boleh bersaing.
“Perkara ini cukup penting memilih dan mengasah bakat pemain muda untuk dipilih mewakili negara yang kuat dan berbakat.
“Ini adalah medan terbaik untuk mereka menonjolkan pemain muda terbaik masing-masing. Semua jurulatih negara menggunakan medan ini untuk memilih pemain diserap dalam pasukan kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Malaysia diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja pada 2023.
Malaysia diberikan tanggungjawab menganjurkan kejohanan terbabit selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2009 bersama Singapura.