JOHOR BAHRU: Kehidupan seorang lelaki berubah secara drastik selepas dia yang bekerja sebagai tukang rumah ditipu seorang kontraktor lebih RM2,000 sehinggakan mereka tujuh beranak terpaksa hidup melarat setelah diusir dari rumah sewa yang tertunggak selama tiga bulan.
Sejak lebih setahun lalu, Azrul Maskat, 36, dan isterinya Junaidah Abd. Samad, 36, bersama-sama lima orang anak tinggal berhimpit di dalam sebuah kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama Tebrau, di sini.
“Berkali-kali saya hubungi dia untuk bayar memandangkan kerja sudah siap, tambahan pula perlu bayar sewa rumah yang tertunggak dan mempunyai keluarga untuk ditanggung. Namun, apa yang saya dapat daripada menuntut hak adalah maki hamun kerana kerap mendesaknya.
“Dia turut hantar mesej kononnya tak akan makan duit orang susah, tapi sampai ke hari ini satu sen pun saya tak terima daripadanya. Sejak itu, saya tak lagi hubunginya dan reda dengan ketentuan Ilahi. Kami sekeluarga buntu tidak ada hala tuju, mujur ada yang simpati benarkan kami tumpang di kontena ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya, dia dan isteri bersama lima orang anak berusia 13 hingga lima tahun menetap di kontena itu sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu dan melakukan pelbagai kerja dari mengambil upah memotong rumput, membaiki motosikal dan tandas bagi membolehkannya menyediakan makan minum untuk anak-anak.
Walaupun tidak dapat memberikan kemewahan buat anak-anak, Azrul tidak pernah mengenal penat mencari rezeki dan bukannya berharap atas sumbangan orang semata-mata walaupun dalam keadaan PKP ini amat sukar untuk dia mendapatkan pekerjaan serta ada masanya hampir seminggu terperuk di rumah tidak melakukan apa-apa.
“Kami sering terputus bekalan makanan, hanya makan nasi goreng kosong sahaja berminggu-minggu, kadang-kadang makan lempeng dan ‘jemput-jemput’ tetapi yang penting anak-anak tidak kelaparan,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul turut menyuarakan kebimbangan soal keselamatan isteri dan anak-anaknya yang terpaksa berhimpit dalam kontena kecil yang sudah usang itu biarpun mereka sekali pun tidak pernah merungut.
“Keadaan di dalam kontena memang panas pada waktu siang, kalau hujan pula kontena akan dimasuki air kerana bahagian atas bocor. Melihatkan keadaan anak- anak dan isteri yang terpaksa melalui kehidupan seperti ini, saya berasa sangat sedih kerana tak dapat berikan kesenangan buat mereka.
“Saya sentiasa memikirkan yang terbaik buat mereka demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak. Sebolehnya, saya berharap kami dapat tempat yang lebih selesa untuk anak- anak,” katanya.
Azrul memberitahu, dia tidak pernah mendapat bantuan daripada pihak Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dengan keprihatinan orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sumbangan barangan keperluan dan makanan sejak kisahnya yang tinggal di dalam kontena tular di media sosial sejak kelmarin.
“Saya sangat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh orang ramai yang prihatin dengan nasib kami, bahkan ada yang ingin membantu untuk memohon bantuan Baitulmal dan JKM,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum kesusahan dihadapi Azrul sekeluarga dan sedia membantu mereka berpindah ke mana-mana Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran selain akan segera bertemu untuk mendapatkan maklumat dan memberikan bantuan yang diperlukan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan pula boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik isterinya, 0111841100004480 atau menghubunginya di talian 011-23576455.