PUTRAJAYA: Hidangan istimewa gulai jerung perejang yang cukup terkenal di negara ini turut disenaraikan antara punca ikan tersebut semakin diancam kepupusan di seluruh dunia.
Menurut laporan terbaharu diterbitkan Dana Alam Semula Jadi Sedunia (WWF), Malaysia juga termasuk dalam senarai 12 negara yang popular menggunakan yu dalam masakan harian.
Selebihnya ialah Australia, Indonesia dan Singapura di Asia Pasifik, Austria, Jerman, Perancis, Portugal dan Sepanyol di Eropah, Ecuador dan Peru di Amerika, serta Mozambique di Afrika.
Di Malaysia, selain menu gulai kari perejang yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Pantai Timur, hidangan yu juga banyak terdapat dalam masakan Sinagol di sekitar Sabah.
Ia adalah sajian terkenal komuniti etnik Bajau di negeri tersebut yang kelazimannya berasaskan ikan jerung masih bersaiz sederhana kecil dimasak dengan kunyit dan rempah lain.
Di samping hirisan daging, hati dan sirip ikan yu juga amat terkenal dalam masakan di negara ini berbanding siput abalon dan cendawan kerana didakwa memiliki kandungan khasiat tinggi.
WWF turut menyenaraikan ikan ini menjadi pilihan masyarakat Cina di Malaysia dalam menu yang dikenali sebagai cui cha yu pian atau snek ringan berupa kepingan yu goreng rangup.
Komuniti tersebut juga gemar memilih ikan yu dalam hidangan sha yu zhou atau bubur jerung dan masakan tipikal ini mudah diperoleh di kebanyakan restoran makanan laut di tepi pantai.
Badan bukan kerajaan berpusat di Switzerland itu turut melaporkan, Sepanyol muncul sebagai pengeksport terbesar yu sejagat tahun lalu dengan 183,884 tan yang bernilai AS$536 juta.
Setiap tahun hampir 100 juta ekor ikan jerung ditangkap di seluruh dunia kerana siripnya yang meraih permintaan tinggi pasaran global dengan nilai mencecah AS$1.5 bilion (RM6.3 bilion).
Malaysia namun melarang tegas aktiviti penangkapan yu dan boleh didakwa mengikut Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 di bawah Akta Perikanan 1985.
Bagaimanapun ikan yu yang tertangkap tanpa sengaja seperti dalam pukat tunda boleh dijual, tetapi nelayan dinasihatkan melepaskan semula ke laut sekiranya didapati masih lagi hidup.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan turut melancarkan kempen Tak Nak Sirip Yu dan hidangan sirip ikan itu dalam sebarang jamuan rasmi kerajaan sudah diharamkan sejak 2014. – UTUSAN ONLINE