Siapa yang tidak terjentik hatinya apabila mengenangkan dosa-dosa yang pernah dilakukan terutama ketika kita berzikir dan beribadat kepada Yang Maha Esa.
Sudah pastinya, kita semua yang berada di muka bumi ini adalah insan yang tidak sempurna kerana sering melakukan kesilapan yang disedari atau sebaliknya.
Perkara tersebut diakui oleh Siti Nordiana ketika berzikir dan mengingati Allah, air matanya berderai apabila mengenang dosa-dosa lampau.
“Sudah tentu kalau Nana berzikir, saya akan menangis. Ada masa-masa yang Nana akan menangis mengenangkan dosa-dosa lalu.
“Kita manusia tidak sempurna, pasti ada dosa dan kesilapan yang dilakukan. Waktu itu Nana akan menangis. Nana juga mudah tersentuh bila dengar selawat dan zikir dalam bentuk lagu dan melodi.
“Nana sukakan muzik, jadi ia dekat dengan Nana. Apabila melodi dan lagu itu kena dengan situasi atau liriknya, Nana akan mudah menitiskan air mata,” luahnya.
Seterusnya, Nana turut memberitahu, dia tidak menolak peluang keemasan jika selepas ini dapat membuat album zikir sepenuhnya.
“Insya-Allah, jika ada peluang untuk membuat album zikir sepenuhnya. Kerana bagi saya, lagu-lagu zikir ini akan memberikan ketenangan hati kepada kita.
“Di samping itu, dapat memberikan manfaat kepada pendengar dan berkongsi bakat yang Allah SWT bagi untuk menenangkan hati peminat.
“Malah dapat memberikan kegembiraan kepada mereka dengan alunan zikir. Semoga bermanfaat kepada pendengar,” ujarnya.
VARIASI GENRE KEROHANIAN
Tampil dengan single terbaharu bergenre ketuhanan dan kerohanian, Hasbi Rabbi berkolaborasi dengan penceramah bebas, Ustaz Sharizan, Siti Nordiana mengajak pendengar menginsafi diri dengan alunan indah kalimah-kalimah suci itu.
Hasbi Rabbi dilancarkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd. dengan kerjasama SND Soul Entertainment, merupakan salah satu single dari album terbaharu, Zikir Ketuhanan.
Istimewanya, album kali ini menghimpunkan zikir dan selawat yang dialunkan seperti munajat harian yang kerap didengar atau dibaca namun diolah dalam melodi yang lebih indah.
Bagi Nana, inisiatif pencipta lagu dalam menghasilkan genre berkenaan amat digalakkan supaya tidak terputus untuk memberikan manfaat serta kesedaran buat pendengar.
“Lagu kerohanian sudah banyak dikeluarkan. Bukan sekadar melodi dan ia tidak terbatas. Malah kini lagu rap dan pop juga menjentik lirik kerohanian.
“Sangat bagus bila anak-anak muda turut dengar malah hafal. Secara tidak langsung dapat memberikan manfaat dengan mengamalkan lirik-lirik lagu kerohanian tersebut.
“Lagu pop dan balada tapi berlirikkan kerohanian. Sangat digalakkan untuk buat banyak lagi kerana akan ada orang yang tersentuh bila mendengar,” katanya.
Dalam pada itu, Nana turut berkongsi maklum balas peminatnya yang sangat suka apabila dia menyanyikan lagu kerohanian serta mendapat sokongan penuh daripada mereka.
“Peminat sangat suka bila Nana nyanyi lagu kerohanian dan zikir. Nana pernah ada album zikir yang dicampur dengan lagu-lagu lullaby untuk anak-anak.
“Kini, kali kedua Nana rakamkan lagu kerohanian, peminat sangat menyokong dan suka.
“Malah ada yang berterima kasih kerana waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nana keluarkan lagu begini, ia dapat memberi ketenangan pada jiwa dan mereka dapat alunkan zikir dan selawat bersama Nana.
“Masing-masing dapatlah pahala,” kongsinya.