PETALING JAYA: Jenama hijab terkemuka, Naelofar dengan kerjasama Pertubuhan Kasih Neelofa mengambil inisiatif membantu golongan yang memerlukan menerusi penyerahan sumbangan barangan asas sempena Hari Raya Aidiladha, minggu hadapan.
Pengarah Urusan Nealofar, Mohamed Aqief Mohd Noor berkata, melalui gerakan bendera putih, pihaknya rasa terpanggil untuk turut membantu rakyat yang terjejas pada waktu ini.
Tambahnya lagi, sumbangan tersebut merangkumi pelbagai jenis barang keperluan harian dan tudung eksklusif Naelofar agar semua keluarga dapat merayakan Hari Raya Haji serta merasai keindahannya bersama.
“Melalui gerakan bendera putih yang dibuat oleh rakyat, kami terpanggil untuk turut sama membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik ini.
“Menerusi kempen ini juga, kami berharap semua orang dapat menikmati perayaan Hari Raya Haji tidak kira apa keadaannya,” katanya.
Di samping itu, pelancaran program bantuan itu dilakukan di hadapan butik Naelofar, yang di jayakan dengan kehadiran, wakil dari pihak Pertubuhan Kasih Neelofa, Haris Ismail, serta wakil dari pihak Naelofar, Mohamed Aqief Mohd Noor.
Malah, sumbangan tersebut turut dijalankan melalui penghantar makanan dan barangan, Lalamove, yang akan membantu untuk mengagihkan bantuan tersebut kepada yang berkenaan.
Dalam pada itu, pengacara itu berharap bantuan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat membantu serta memberikan senyuman mereka di hari raya Aidiladha yang menjelang tidak lama lagi.
“Wabak ini pasti meninggalkan kesan yang besar bagi kehidupan orang ramai, seperti kehilangan sumber pendapatan, dipotong gaji, serta ada yang tidak mampu menyediakan keperluan untuk keluarga.
“Kita berharap sedikit sebanyak bantuan yang diberikan ini dapat memberikan senyuman pada mereka di Hari Raya Aidiladha nanti” ujar pengasas itu.