MELAKA: Kerajaan negeri membenarkan had maksimum 50 jemaah menunaikan solat fardu dan solat jenazah di masjid kerajaan, kariah dan institusi berkuat kuasa hari ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketetapan tersebut dibuat melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang bersidang semalam.
Kata beliau, seramai 20 jemaah pula dibenarkan di surau-surau yang terdiri daripada pegawai masjid dan jemaah dengan kaedah yang ditentukan oleh jawatankuasa.
“Bagaimanapun, jumlah maksimum jemaah solat Jumaat adalah kekal sama seperti surat JAIM bertarikh 1 Julai lepas iaitu seramai 250 orang bagi masjid kerajaan, 100 orang untuk masjid kariah dan institusi serta surau dibenarkan solat Jumaat seramai 50 orang.
“Perubahan ini berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Che Sukri, seluruh jawatankuasa masjid dan surau di Melaka dipohon mematuhi ketetapan tersebut berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam Pekeliling JAIM Bil. 11/2021 bertarikh 31 Mei 2021.
Katanya, kebenaran pelaksanaan aktiviti boleh ditarik balik sekiranya pentadbiran masjid dan surau gagal mematuhi SOP yang ditetapkan. – UTUSAN