MELAKA: Kerajaan negeri sedang dalam proses memindahkan kira-kira 3,200 pekerja asing yang menduduki kawasan perumahan dan pangsapuri sekitar Ayer Keroh serta Taman Tasik Utama, dekat sini ke kuarters pekerja berpusat (CLQ) berdekatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) negeri, Ramli Mohd. Ali berkata, sebagai permulaan, seramai 1,400 pekerja dipindahkan ke sebuah bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Pusat Kenderaan Berat Ayer Keroh, dekat sini.
Beliau berkata, setakat ini, seramai 700 pekerja sebuah kilang sudah berpindah ke bangunan tersebut manakala 700 lagi kekosongan akan diisi selepas ini.
“Sebuah CLQ di Durian Tunggal juga mula menempatkan pekerja di beberapa buah kilang yang terdapat di Ayer Keroh.
“Hasil bancian yang dibuat, masih ada baki 1,300 pekerja yang berada di beberapa kawasan perumahan di Taman Tasik Utama.
“Kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk membawa baki pekerja terbabit untuk ditempatkan ke CLQ lain yang sedang dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar di Peringgit di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima dua memorandum bantahan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh, Ismail Othman dan Timbalan JPKK Taman Tasik Utama, Mohd. Zaini Mohd. Ashri.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, sebuah kilang pula telah memberi jaminan untuk membina sebuah CLQ di kawasan kilang tersebut dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi.
Jelasnya, kerajaan negeri memerlukan sebanyak 51 CLQ untum menempatkan pekerja-pekerja asing yang bekerja di beberapa daerah di Melaka.
“Dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak swasta bagi pembinaan CLQ di beberapa tempat bagi memastikan pekerja-pekerja warga asing tidak lagi mendiami kawasan perumahan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE