Melaka arah majikan pindahkan pekerja asing dari taman perumahan - Utusan Malaysia

Melaka arah majikan pindahkan pekerja asing dari taman perumahan

SULAIMAN Md. Ali menyantuni salah seorang penerima vaksin di Program Outreach Vaksinasi DUN Kuala Linggi di Kompleks Japerun Kuala Linggi, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Semua majikan diarahkan untuk segera memindahkan pekerja warga asing dari taman perumahan ke asrama dan bangunan berasingan bagi mengawal penularan Covid-19 membabitkan kluster industri di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, langkah tersebut telah diputuskan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Katanya, majikan boleh memindahkan pekerja mereka ke beberapa lokasi yang telah dikenal pasti termasuk bangunan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan berdekatan Melaka Sentral yang boleh menampung kira-kira 1,400 orang.

“Keputusan ini dibuat kerana bimbang kluster industri membabitkan pekerja warga asing menular kepada penduduk setempat.

“Jadi, kita arahkan majikan untuk segera memindahkan pekerja mereka yang kini menetap di kawasan perumahan ke asrama dan bangunan disenaraikan,” katanya.

Sulaiman berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras DUN (Japerun) Kuala Linggi di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Melaka, Habibah Jaafar.

Mengulas lanjut, Sulaiman turut menjelaskan, majikan sekurang-kurangnya perlu memindahkan separuh daripada pekerja warga asing ke penempatan tersebut.

“Sebagai contoh, sekiranya di kawasan Perindustrian Ayer Keroh mempunyai hampir 3,000 pekerja warga asing, lebih 1,000 perlu dipindahkan ke asrama.

“Majikan yang enggan mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 termasuk penutupan kilang jika ingkar,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya