SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memudahkan urusan cukai penduduk dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang tidak lagi perlu hadir ke kaunter untuk menjelaskan cukai taksiran.
Bermula penggal kedua tahun ini sehingga 31 Ogos, warga Shah Alam boleh melayari laman web MBSA (www.eps.mbsa.gov.my) bagi menjelaskan bayaran cukai taksiran.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad memaklumkan, saluran bayaran menerusi JomPAY turut disediakan dan pembayar hanya perlu memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baharu pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 dan seterusnya memasukkan jumlah bayaran.
“Selain itu, saluran bayaran baharu melalui SnapNPay juga telah diperkenalkan. Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi bayaran ‘SnapNPay’ di Google Play Store (Android) atau App Store (IOS) secara percuma.
“Pengguna hanya perlu mengimbas kod bar atau kod QR untuk nombor akaun dan jumlah bayaran yang tertera pada bil cukai taksiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, PBT itu turut menyediakan kemudahan sama secara terus daripada perbankan dalam talian yang disediakan bank-bank terlibat seperti Maybank, RHB Bank, United Overseas Bank (UOB), Ambank, MBF Cards dan Bank Islam.
Malah, Bank Rakyat, CIMB Bank, Bank Muamalat dan Public Bank turut menyediakan kemudahan pembayaran cukai taksiran di MBSA.
Shahrin berkata, pengguna dikehendaki memilih saluran bayaran yang disediakan di dalam aplikasi SnapNPay dan proses bayaran akan disambungkan kepada portal perbankan internet.
Katanya lagi,pembayaran cukai taksiran juga boleh dijelaskan di kaunter pandu lalu MBSA yang beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat mulai jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
“MBSA ingin mengingatkan kepada semua pemegang harta supaya dapat menunaikan tanggungjawab dengan menjelaskan cukai taksiran masing-masing kerana ini dapat membantu pihak MBSA untuk menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan menyelenggara infrastruktur awam seperti jalan, lampu jalan, longkang serta membina lebih banyak taman-taman awam dan taman permainan.
“Melalui kutipan cukai taksiran ini juga dapat membantu MBSA untuk menguruskan bandar raya Shah Alam dengan lebih cekap dan efisien sekali gus dapat memberi keselesaan, kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat khususnya yang bermastautin di bandar raya Shah Alam,” katanya.
Sebarang pertanyaan berhubung cukai taksiran sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian terus 03-55222881,03-55222882. – UTUSAN