GOIAINA, Brazil: Lionel Messi sekali menunjukkan sentuhan ‘magis’ apabila terlibat dalam ketiga-tiga jaringan Argentina ketika pasukannya membenam Ecuador 3-0 sebentar tadi untuk mara ke separuh akhir Copa America.
Argentina mengesahkan status mereka sebagai pilihan untuk merangkul kejuaraan buat kali ke-15 dan akan menentang Colombia dalam separuh akhir, Rabu ini.
Skuad La Albiceleste bermula agresif dan mencipta beberapa peluang sejak awal permainan, namun percubaan terbaik yang diperoleh menerusi Messi terkena tiang biarpun penyerang Barcelona itu hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, Hernan Galindez .
Bagaimanapun kapten Argentina tersebut tidak menunggu lama untuk mencipta impak apabila melakukan gerakan cantik kepada Rodrigo De Paul pada minit ke-40 untuk disempurnakan oleh pemain tengah Udinese itu.
Ecuador bertungkus lumus untuk mencari gol penyamaan pada babak kedua dan menimbulkan banyak masalah, tetapi penjaga gol Argentina, Emi Martinez dan pertahanan mereka bertahan dengan baik.
Memasuki minit ke-84, Argentina menamatkan sisa harapan Ecuador untuk bangkit apabila Angel Di Maria yang mencuri bola melakukan hantaran kepada Messi yang kemudian mengatur gerakan cantik untuk gol kedua yang disempurnakan Lautaro Martinez.
Ecuador bertambah malang apabila Pierro Hincapie dilayangkan kad merah pada waktu kecederaan selepas menjatuhkan Di Maria di luar kotak penalti untuk menghadiahkan Argentina sepakan percuma.
Messi menyempurnakan peluang dengan baik apabila sepakan bebas yang diambil terus menerjah ke gawang untuk kedudukan 3-0. – AGENSI