JOHOR BAHRU: Pendakwaan seorang lelaki berketurunan Rohingya yang dikenali sebagai Long Tiger di Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini ditangguhkan kerana dia perlu menjalani kuarantin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti Covid-19.
Katanya, keadaan itu menjadi alasan pendakwaan yang sepatutnya dijalankan pada hari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang lain.
“Pendakwaan ke atas Long Tiger tidak dapat dibuat hari ini setelah dia perlu dikuarantin kerana ada kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan lelaki berketurunan Rohingya itu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes mengurung bekas pekerjanya akan didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak, dekat sini.
Pada 14 Julai lalu, Long Tiger dilaporkan ditahan polis dalam satu serbuan di Muar kerana dipercayai terlibat dalam kes mengurung bekas pekerjanya yang berusia 21 tahun. – UTUSAN ONLINE