KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dipenjara sebulan kerana menghina mahkamah ekoran tindakannya mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dua tahun lalu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Lokman menjalani tempoh pemenjaraan bermula hari ini.
Ketika menyampaikan keputusannya, Collin berpuas hati bahawa tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin merupakan satu ugutan yang boleh membawa kepada ancaman terhadap saksi-saksi perbicaraan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Collin turut membenarkan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan.
Sebelum itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman memohon penangguhan pelaksanaan hukuman atas alasan kesalahan itu adalah yang pertama dilakukan oleh anak guamnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam memohon agar penangguhan ditolak atas alasan tiada keadaan-keadaan istimewa yang boleh menjustifikasi agar permohonan itu dibenarkan.
Terdahulu, Muhammad Shafee memohon anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara.
Mahkamah turut diberitahu, Lokman tidak mengancam Amhari secara fizikal manakala saksi itu tidak membuat sebarang aduan rasmi mengenainya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bahawa Lokman tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia insaf dengan perbuatannya.
Sri Ram berhujah, tindakan Lokman tidak berhenti setakat membuat laporan polis tetapi dia selanjutnya membuat kenyataan media berhubung laporan polis itu ketika Amhari sedang memberi keterangan.
Hujah Sri Ram, Lokman merupakan penyokong kuat Najib dan memang mempunyai niat mengugut saksi tersebut berdasarkan perkataan yang digunakan dalam laporan polis.
Menurut Sri Ram, wujud kemungkinan saksi-saksi lain juga akan diugut dan perbuatan itu dikhuatiri akan menjurus kepada campur tangan dalam proses kehakiman.
Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.
Lokman didakwa telah menghina mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap saksi pendakwaan kelapan kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri.
Pada 14 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh oleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.
Menurut Tommy, Lokman dalam satu temu bual bukan sahaja mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari, malah pada hari yang sama membuat laporan polis terhadap beliau bertujuan mengganggu dan menakut-nakutkannya, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.