Lima PATI dicekup PGA Muar - Utusan Malaysia

Lima PATI dicekup PGA Muar

ANGGOTA polis Batalion 6 PGA Bakri, Muar menahan tujuh individu termasuk lima PATI yang cuba menyeludup keluar dari negara ini di Jalan Kundang, Tanjung Sepat, Kuala Langat malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Hasrat lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin keluar dari negara ini melalui lorong tikus tidak berhasil apabila ditangkap anggota pasukan Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri, Muar di tepi jalan besar Jalan Kundang, Tanjung Sepat, di sini malam semalam.

Kesemua PATI bersama seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai transporter ditahan dalam Op Benteng pada pukul 8.20 malam.

Turut ditahan seorang lagi lelaki warganegara Indonesia yang berperanan sebagai ejen bagi menguruskan PATI keluar masuk dari negara ini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 6, Superintenden Rozasin Ramlan dalam kenyataan berkata, pihaknya turut merampas barangan bernilai RM51,800 terdiri daripada sebuah kereta jenis Perodua Myvi, motosikal Yamaha, telefon bimbit (3) dan wang tunai RM3,800.

“Sepasukan polis dari kompeni C Batalion 6 PGA telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun bersama tiga lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam sebuah kenderaan di tepi jalan besar di Jalan Kundang, Tanjung Sepat pada pukul 8.20 malam semalam.

“Siasatan mendapati, lelaki tempatan tersebut menyediakan khidmat pengangkutan darat kepada PATI yang ingin keluar masuk ke negara ini,” katanya.

Rozasin memberitahu, hasil siasatan dijalankan, pihaknya menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun di tepi jalan Kundang 2, Taman Seri Kundang pada pukul 11 malam hari yang sama.

Katanya, suspek yang berperanan sebagai tekong darat menguruskan keluar masuk kesemua PATI berkenaan dengan caj antara RM1,500 hingga RM2,000 terhadap setiap PATI.

Kesemua suspek dan PATI yang ditahan berusia antara 23 hingga 52 tahun.

“Suspek mula bergiat aktif mulai Januari tahun ini dan dia berperanan sebagai ejen yang menguruskan pergerakan keluar masuk PATI melalui jalan laut yang tidak diwartakan,” jelasnya.

Kesemua suspek dan PATI dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat setempat memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang aktiviti kemasukan dan keluar PATI menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya