Aksinya di pentas hiburan tanah air tidaklah lama, sekitar lima tahun sahaja. Namun kewujudannya meninggalkan impak kepada peminat apabila berjaya menghadiahkan karya-karya berstatus malar segar ketika era kegemilangannya pada dekad 80-an dahulu.
Wajah Cinta, Bila Rindu Ku Sebut Namamu dan Penantian Belum Berakhir, merupakan tiga rilisan yang berjaya mengangkat nama penyanyi ini.
Terus mencuri tumpuan apabila lagu dendangannya berjaya mara sebanyak dua kali dalam pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu pada 1986 dan 1988.
Sebaik mendirikan rumah tangga pada 1990, dia mengambil keputusan drastik apabila mengumumkan persaraannya di pentas nyanyian. Hampir 20 tahun dia menyepikan diri sebelum muncul semula di khayalak ramai pada 2010.
Bersama Khabar Legenda, penyanyi lagu popular Usah Bertanya Lagi, Siti Fairus Sheikh Mohamed, 53, berkongsi cerita perjalanan seni serta perniagaan yang diceburinya hari ini.
“Setelah berumah tangga saya ambil keputusan untuk bersara daripada bidang nyanyian. Saya ingin fokus kepada keluarga, dengan erti kata lain jalankan tanggungjawab sebagai isteri sepenuh masa.
“20 tahun saya menyepikan diri dan tidak buat sebarang persembahan pentas. Ditakdirkan jodoh saya bersama suami tidak panjang, selepas berpisah barulah saya buat comeback pada 2010,” katanya memulakan perbualan.
Menelusuri perjalanan sebagai anak seni bukanlah mudah. Banyak dugaan dan rintangan yang perlu ditempuhi. Tidak semua mampu melakukannya, bahkan sudah ada yang menyerah kalah walaupun baru bertapak setahun jagung.
Tidak menyalahkan ketentuan Ilahi, apa yang berlaku merupakan takdir yang sedia tertulis.
Dia juga tidak menganggap penceraian yang berlaku adalah keistimewaan yang merupakan batu loncatan untuknya kembali meraih populariti.
“Jika kita ada komitmen bersama pasangan, pastikan minta kebenaran dahulu. Bidang seni ini lain sepak terajangnya. Kalau diizinkan barulah buat. Dalam perkongsian hidup kena ada sifat toleransi dan percaya antara satu sama lain.
“Bila bersara saya simpan semua kaset-kaset dan trofi kemenangan. Saya tak ingin anak-anak tahu kisah silam dan sejarah dahulu. Hampir 20 tahun mereka langsung tidak tahu yang ibunya dahulu seorang penyanyi,” katanya
Memanjatkan rasa syukur dengan kehidupan yang harmoni hari ini, fasa yang dilaluinya hari ini adalah anugerah terindah yang cukup bermakna.
Katanya, apa yang dihajati kini bukanlah sekadar kemewahan di dunia, malah lebih mencari ruang untuk membina kehidupan yang lebih sempurna akhirat kelak.
Pernah juga terfikir untuk menghadiahkan sesuatu yang terbaru buat peminat, namun niat murni itu dibatalkan setelah difikirkan dengan semasak-masaknya. Bukan tidak percaya dengan bakat yang ada, tetapi dia punya jawapan tersendiri.
“Ada juga terfikir nak buat lagu baru, tetapi bila naik ke pentas, semua penonton nak saya nyanyikan lagu-lagu hits ketika era-80 an dahulu. Jadi saya fikir buat apa nak bazir masa dan wang jika yang lama masih jadi pilihan peminat? Silap hari bulan peminat langsung tak pandang dan radio pun tak nak putar.
“Tidak dinafikan ada rakan-rakan artis sezaman saya yang berjaya buat comeback dengan lagu-lagu baru, mungkin itu rezeki dan tuah mereka. Tetapi saya percaya insan itu bukanlah saya. Kena percaya dengan kemampuan diri sendiri,” katanya.
Ditebak pertanyaan kolaborasi artis lama dan baharu yang menjadi trend hari ini, dia melihat situasi tersebut dari sisi positif.
Menurutnya, masing-masing berhak merencanakan kerjaya dan karya yang ingin dipertaruhkan, apatah lagi jika mereka masih kekal relevan di mata peminat.
“Saya sentiasa menyokong rakan-rakan artis yang sentiasa aktif dan mencari ruang baru untuk berkarya. Cuma saya masih belum untuk ke arah itu. Bukan tidak mahu mencuba, tetapi masih belum terfikir lagi. Begitu juga dengan lagu-lagu saya. Tak mungkin akan diberi nafas baru. Saya tetap kekalkan keaslian. Itu amanat komposer Datuk Seri Ahmad Nawab kepada saya.
“Dia beritahu, jangan sesekali ubah dan rosakkan lagu-lagu ciptaannya yang pernah menjulang nama saya. Nanti akan mencacatkan irama lagu tersebut. Dan kata-katanya itu saya pegang hingga ke hari ini,” katanya.
Jana pendapatan dengan berniaga
Tempoh sukar sebagai anak seni hari ini menjadikan dia sentiasa beringat dan berpesan dengan diri sendiri agar keluar seketika dari zon selesa. Menjana pendapatan sampingan melalui kerjaya yang mampu menjamin kehidupan perlu dipandang serius dalam meniti hari mendatang.
“Saya jalankan perniagaan minyak wangi jenama sendiri bermula 2018 lagi. Kini sudah ada tiga jenis haruman berbeza berkonsepkan unisex yang diambil berdasarkan tajuk lagu saya sebelum ini iaitu Bila Rindu, Usah Bertanya Lagi dan Sebutan Tak Bermakna.
“Terbitnya idea tersebut adalah kerana saya peminat tegar minyak wangi. Malangnya, saya tidak boleh pakai jenama di pasaran kerana kulit saya sensitif dan allergic.
“Melalui seorang kenalan dia beri idea agar saya cuba buat jenama sendiri. Pada mulanya hanya untuk kegunaan sendiri dan keluarga, namun lama kelamaan ramai pula yang bertanya. Dari situlah tercetusnya idea untuk jual di pasaran,” katanya.
Sebelum bergiat aktif melalui jualan dalam talian, dia terlebih dahulu mempromosikan jenama harumannya melalui gerai yang disewa dalam setiap majlis dan karnival yang disertainya sebelum ini.
Menurutnya, dia lebih selesa bekerja dengan cara begitu kerana lebih dekat dengan pelanggan dan peminat.
Bukan mencari alasan untuk tidak mempromosikan secara komersial, dia memberitahu ada ketikanya perlu memikirkan pelbagai kesan dan risiko jangka masa panjang.
Katanya, dalam usia sebegini bukanlah masa sesuai untuknya bersengkang mata serta mengembleng tenaga berlebihan demi mengejar apa yang dihajati.
“Saya mahu berniaga dengan cara mudah dan tidak memenatkan. Mampukah saya beri komitmen untuk jangka masa panjang? Sewa kedai, gaji pekerja dan sebagainya? Ikutkan anak-anak pun larang saya sibuk macam ini. Mereka nak suruh berehat di rumah sahaja. Tapi iyalah, saya bukan jenis yang duduk diam.
“Jadi bila buat jualan dan promosi secara dalam talian nampak lebih mudah. Setiap pesanan jauh yang diterima saya akan pos, kalau yang dekat itu saya hantar sendiri ke rumah mereka. Pelanggan akan rasa lebih dihargai,” kongsinya.
Bersandarkan kejayaan lalu, dia mengorak langkah seterusnya dengan mencuba produk kedua yang diberi nama Kopi Senandung. Produk asli Kopi Robusta yang diimport khas dari Indonesia ini sudah dikilangkan di Malaysia, malah mendapat respon yang cukup postif daripada penggemar-penggemar kopi tempatan.
“Kopi adalah minuman yang saya gemari, tapi tak boleh minum terlalu banyak sebab boleh buatkan saya migrain. Jadi bila saya cuba kopi ini, rasa ada satu kelainan. Saya boleh minum dua, tiga cawan tanpa ada sebarang kesan sampingan.
“Kopi ini saya beri nama Dayang Senandung. Jadi kepada penggemar kopi yang tidak boleh ‘masuk’ dengan jenama yang ada di pasaran hari ini, bolehlah cuba.
“Insya-Allah tidak memudaratkan kerana itu merupakan maklum balas yang saya terima dari pelanggan setakat ini. Kepada sesiapa yang berminat boleh hubungi saya di talian, 013-8511604, Facebook Siti Fairus Sheikh Mohamed atau Instagram, Sitifairusofficial,” katanya menutup perbualan.