Lelaki tidak pakai pelitup muka direman - Utusan Malaysia

Lelaki tidak pakai pelitup muka direman

SEORANG lelaki berusia 29 tahun ditahan reman selepas memprovokasi polis semasa mengeluarkan kompauan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. - UTUSAN/SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki direman empat hari ekoran tindakan mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis setelah didapati enggan memakai pelitup muka di sebuah stesen minyak, baru-baru ini.

Perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret Muhammad Iskandar Zainol ke atas suspek berusia 29 tahun.

Reman dibuat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 188 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan multimedia.

Suspek bekerja sebagai ejen insurans ditahan polis dalam serbuan terhadap sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara pada pukul 10 malam semalam.

Lelaki itu kemudian dibawa ke mahkamah hari ini memakai baju lokap jingga dan diwakili peguam Rahmat Hazlan untuk prosiding reman.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 15.42 minit menunjukkan seorang lelaki telah singgah di stesen minyak untuk mengisi minyak kereta telah didatangi anggota polis selepas didapati tidak memakai pelitup muka.

Video itu turut tular dalam media sosial selepas dia enggan memakai pelitup muka dan mendakwa dia membaca kajian mendakwa memakai pelitup muka boleh dijangkiti bakteria.

Malah dia turut dikenakan kompaun kerana ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

Namun ketika berada di dalam kereta lelaki terbabit yang masih merakam video itu turut mempertikaikan tugas polis dan mengeluarkan perkataan kesat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid, berkata suspek dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di sebuah stesen minyak dekat Sri Damansara.

Tindakan suspek memuat naik video itu bagaimanapun dikecam netizen kerana ia ternyata salah kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN