TELUK INTAN: Mayat lelaki ditemukan selepas lebih empat jam dilaporkan hilang setelah terjatuh dari bot semasa memancing di Sungai Perak berhadapan Pulau Bangau, di sini hari ini.
Mayat warga emas, Teoh Har Soon, 63, itu dijumpai oleh anggota bomba pada pukul 1.40 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 150 meter dari lokasi terakhir dia dilihat selepas pasukan penyelamat menggunakan teknik pusaran air menggunakan bot.
Katanya, mayat lelaki terbabit timbul di permukaan sungai dengan kedalaman dua meter dalam tempoh sejam.
“Anggota membawa mangsa naik ke tebing namun dia disahkan telah pun meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE