Lelaki mengaku tidak bersalah bakar kereta di rumah mentua - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku tidak bersalah bakar kereta di rumah mentua

M. Devandran dibawa anggota polis bagi didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Pilah atas dua pertuduhan membabitkan khianat dengan api sehingga menyebabkan dua buah kenderaan terbakar dalam kejadian di rumah ibu mentuanya di Kampung Indah, Jempol pada 12 Julai lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pekerja ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini atas dua pertuduhan membabitkan khianat dengan api sehingga menyebabkan dua buah kenderaan terbakar dalam kejadian di rumah ibu mentuanya di Kampung Indah, Jempol pada 12 Julai lalu.

Tertuduh, M. Devandran, 26, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kira-kira pukul 6.45 pagi di Lorong 11, Kampung Indah, Jempol, tertuduh telah melakukan khianat dengan api terhadap kereta jenis Proton Satria dengan membakar tilam yang berada di atas bonet belakang kereta.

Bagi pertuduhan kedua pula, kira-kira pukul 6.45 pagi di rumah yang sama, tertuduh telah melakukan khianat dengan api terhadap kereta jenis Perodua Kancil dengan membakar menggunakan petrol.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan khianat dengan api atau apa-apa benda letupan dengan maksud hendak menyebabkan atau dengan mengetahui mungkin dia akan menyebabkan kerosakan kepada apa-apa harta yang bernilai sebanyak RM50 atau lebih.

Jika sabit kesalahan tertuduh bakal berhadapan hukuman penjara selama tempoh yang boleh hingga 14 tahun dan dikenakan denda.

Norma kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi dua pertuduhan berkenaan dan sekiranya gagal membayar jaminan, tertuduh akan dihantar ke Penjara Jelebu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enteri Anak Mawan dan hakim memutuskan 23 Ogos ini untuk sebutan lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditangkap tidak sampai 24 jam selepas dipercayai bertindak membakar dua buah kereta milik keluarga isterinya di Kampung Indah, Bahau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya