Lelaki conteng tembok istana, tumbuk polis ada masalah mental ? - Utusan Malaysia

Lelaki conteng tembok istana, tumbuk polis ada masalah mental ?

KEADAAN motosikal ditunggangi suspek yang maut selepas terbabas di Bedong, Sungai Petani semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lelaki yang terlibat dalam kejadian menconteng tembok istana dan menumbuk seorang anggota polis wanita di depan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar semalam dipercayai mengalami masalah mental.

Menerusi ruangan komen dalam laman Facebook rasmi Polis Kedah, seorang individu yang mendakwa sebagai sepupu suspek mendakwa lelaki berusia 30-an itu mengalami masalah tersebut sejak beberapa tahun lalu.

“Maaf semua, arwah merupakan sepupu saya. Mengalami masalah mental yang dah bertahun-tahun.

“Doakan dan sedekahkan al-Fatihah buat arwah. Sekali lagi saya wakil dari keluarga arwah memohon maaf dan ampun sekiranya arwah ada berbuat salah serta silap.

“Semoga anggota polis yang bertugas tersebut cepat sihat dan sembuh. Amin Ya Rabb Alamin,” katanya.

Semalam suspek bertindak aneh apabila menconteng tembok Istana Anak Bukit dekat sini dengan perkataan ‘SAMR’ sebelum tiba-tiba pergi ke IPD Kota Setar dan menumbuk seorang anggota polis wanita yang sedang bertugas.

Suspek bagaimanapun meninggal dunia tidak lama selepas itu apabila motosikal yang digunakannya untuk melarikan diri daripada polis, terbabas di Bedong dekat Sungai Petani kira-kira pukul 8.20 malam.

Sementara itu seorang wanita yang juga mengaku sebagai sepupu suspek dalam ruangan komen Facebook sama, turut meminta semua pihak agar tidak memberikan komen-komen negatif terhadap arwah.

“Tolong jangan komen benda negatif ya sahabat, mohon jaga perasaan keluarga kami,” katanya.

Selain itu di media sosial turut tular kad rawatan pesakit luar Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dipercayai milik suspek.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi memaklumkan, polis masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Siasatan masih berjalan sementara anggota polis yang cedera akibat ditumbuk itu pula sudah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di HSB,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya