Lebih RM2 juta rokok tanpa cukai dirampas - Utusan Malaysia

Lebih RM2 juta rokok tanpa cukai dirampas

RAMLI Mohamed Yusoof (tengah) menunjukkan rokok putih tidak bercukai yang dirampas di Hentian Rehat dan Rawat Gambang dan dibawa ke pekarangan IPK Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang merampas kira-kira 2.7 juta batang rokok putih tanpa cukai bernilai RM2.01 juta dalam satu penahanan sebuah lori di Kilometer 193.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 1), semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, rampasan yang dibuat oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dibantu polis kontinjen dipercayai antara sindiket mengedar dan menjual rokok seludup yang sedang bergerak aktif.

“Bertindak atas perkongsian maklumat, di Hentian Rehat dan Rawat (RnR), Gambang itu, polis  memintas sebuah lori jenis Bonded dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah rokok yang tidak mempunyai seal pengesahan bercukai.

“Polis merampas sebanyak 254 kotak besar rokok putih jenama John JDB yang mengandungi 2.54 juta batang dan 11 kotak besar rokok putih jenama John White mengandungi 137,000 batang.

“Kesemua barangan tersebut diletakkan di bahagian hadapan lori serta ditutupi dengan timbunan kotak-kotak kosong pelbagai label jenama makanan dan minuman, bertujuan mengaburi pihak penguat kuasa,” katanya dalam sidang akhbar rampasan rokok tidak berkastam di Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 32 tahun yang merupakan pemandu lori berkenaan dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Katanya lagi, siasatan awal hasil tangkapan dan rampasan berkenaan, suspek adalah sebagai transporter dan diarahkan membawa barangan tersebut dari Segamat, Johor untuk dihantar ke Kuala Lumpur.

“Rokok-rokok yang dirampas dipercayai diperoleh dari negAra jiran dan dibawa masuk melalui jalan laut dan diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Hasil dari penahanan suspek, polis juga menjumpai surat-surat kebenaran pengoperasian dipercayai dipasulkan dan dua set nombor pendaftaran kenderaan palsu.

“Polis turut merampas barang-barang lain termasuk telefon bimbit jenis Iphone bernilai RM2,899, wang tunai RM771.40 dan Dollar Singapura SD31, satu unit GPS dan menyita kenderaan lori yang dipercayai hasil kegiatan penyeludupan oleh sendiket berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis percaya dengan tangkapan ini dapat mengesan lagi beberapa sendiket dan operasi penyeludupan rokok tanpa cukai berikutan modus operandi yang hampir sama dengan  operasi tangkapan 2 Julai lalu.

“Dengan itu, kes disiasat di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan import (rokok).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau RM500,000, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya