Lebih 4,000 pekerja hotel mohon dipercepat terima vaksin 

Lebih 4,000 pekerja hotel mohon dipercepat terima vaksin 

AMRAN Taib (kanan) dan Tan Yew Jin dalam sidang akhbar di Hotel Royal, Georgetown, Pulau Pinang memohon supaya kerajaan mempercepat pemberian vaksin Covid-19 kepada pekerja industri perhotelan di Pulau Pinang dan seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lebih 4,000 pekerja industri perhotelan di Pulau Pinang memohon kerajaan mempercepatkan proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pekerja hotel dan penggiat pelancongan supaya mereka dapat kembali beroperasi segera. 

Pengurus Besar Hotel Royal, Amran Taib berkata, sektor pelancongan dan perhotelan dijangka dapat dibuka pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun pekerja hotel termasuk di Pulau Pinang masih tidak menerima vaksin Covid-19. 

Katanya, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) termasuk MAH Pulau Pinang telah berulang kali memohon pertimbangan kerajaan serta menghantar surat supaya pekerja hotel dapat diberikan keutamaan menerima vaksin Covid-19, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima. 

”Hampir dua tahun pekerja industri perhotelan berkorban, ada yang dipotong gaji, ada yang tak dapat gaji langsung dan pelbagai lagi terpaksa kami hadapi ekoran pandemik ini. 

“Kami mohon kerajaan bantu kami dengan percepatkan pemberian vaksin kepada pekerja hotel termasuk lebih 4,000 di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di Hotel Royal, di sini hari ini. 

Menurut Amran, pekerja sektor perhotelan dan pelancongan merasakan seperti dipinggirkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) kerana sehingga kini masih ramai menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin Covid-19. 

“Pemberian vaksin kepada pekerja hotel perlu disegerakan kerana ramai pemilik hotel tidak dapat berterusan menanggung impak akibat penutupan operasi. 

“Industri perhotelan mesti dibuka semula dengan pekerja-pekerjanya diberikan vaksin Covid-19 supaya pelanggan yang datang lebih yakin dan kami dapat menjaga keselamatan mereka daripada virus Covid-19,” katanya. 

Dalam pada itu, hasrat sama turut disuarakan Pengurus Besar Hotel Berjaya Pulau Pinang, Tan Yew Jin yang mahu kerajaan membantu industri perhotelan dengan menyegerakan vaksin Covid-19 kepada pekerja hotel. 

Katanya, pekerja industri serta pemilik hotel menghargai segala bentuk bantuan yang diberikan kerajaan kepada mereka namun vaksin Covid-19 adalah satu keperluan penting untuk pekerja hotel pada masa ini. 

“Pada tahun lalu, tiada satu pun kluster melibatkan industri hotel dan ini menjadi penanda aras yang mana kami amat mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya