Lebih 12,295 pokok hutan ditanam di HSK Batu Talam - Utusan Malaysia

Lebih 12,295 pokok hutan ditanam di HSK Batu Talam

KAKITANGAN Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) giat menanam pokok hutan pelbagai spesies di kawasan bekas kebun haram Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Lebih 12,295 pelbagai spesies pokok hutan  ditanam sehingga 19 Julai lalu di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini yang dijadikan kebun durian musang king secara haram.

Kawasan ceroboh seluas lebih 101 hektar itu akan ditanam dengan kira-kira 20,000 pokok hutan selepas kerja menebang 15,000 pokok durian musang king ‘haram’ di situ selesai pada 12 Julai lalu.

Antara spesies pokok hutan yang ditanam di situ adalah daripada jenis merawan, meranti, balau, keruing, pokok nadir, sentul dan juga tampoi.

Difahamkan, pokok hutan berkenaan ditanam membabitkan lebih 100 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan aktiviti menanam dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Tanah yang berbaja dan lembut di kawasan bekas kebun ‘haram’ durian musang king tersebut melancarkan lagi kerja menanam walaupun terpaksa memindahkan pokok ke kawasan berbukit.

Operasi menebang pokok durian musang king di HSK Batu Talam seluas 101 hektar dimulakan pada 2 Julai lalu dan dijangka siap pada 3 Ogos ini.

Walaupun pada mulanya operasi menerima provokasi melampau dipercayai daripada pekebun durian namun operasi kembali lancar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) mula melakukan kawalan pada 5 Julai lalu.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, operasi memusnahkan pokok musang king di kawasan seluas 101 hektar itu bertujuan mengekalkan kawasan tadahan air yang membabitkan sumber air kepada penduduk.

Shahril memberitahu, HSK Batu Talam seluas 62,070 hektar telah diwartakan sebagai kawasan hutan tadahan air pada 2002.

Hutan Simpan Kekal Batu Talam membekalkan air kepada Sungai Sempam yang mengalir bertemu Sungai Liang dan membentuk Sungai Semantan yang mana sumber air sungai berkenaan diproses di Loji Semantan untuk kegunaan pengguna. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN