Lebih 11 juta pokok sudah ditanam di seluruh negara

Lebih 11 juta pokok sudah ditanam di seluruh negara

MUHYIDDIN Yassin menanam pokok merbau di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana pada 5 Januari lalu sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan sejak awal Januari lalu pada ketika ini sudah merekodkan 11,303,283 batang pokok ditanam di seluruh negara.

Menurut Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, angka itu direkodkan pada 30 Jun lalu, sekali gus melepasi sasaran 10 juta batang pokok bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

“Sarawak muncul sebagai negeri yang paling banyak menanam pokok baharu dalam kempen ini apabila mencatatkan sejumlah 6,284,085 batang pokok,” katanya menerusi kenyataan.

Ini diikuti Sabah dengan 2,010,110 batang pokok, Pahang (1,211,812), Kelantan (693,227), Perak (488,220), Johor (188,717), Perlis (136,968), Selangor (97,411) dan Melaka (85,986).

Paling mengejutkan, jumlah pokok ditanam di Putrajaya yang cuma luas 49 kilometer persegi itu lebih banyak daripada negeri-negeri bersaiz lebih besar kecuali Kedah dengan 39,170.

Wilayah Persekutuan yang ketiga itu menyaksikan sejumlah 30,692 batang pokok ditanam, berbanding Terengganu hanya 25,690, Negeri Sembilan (5,120) dan Pulau Pinang (2,628).

Sementara itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula paling sedikit ditanam pokok baharu iaitu cuma 1,752 batang manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan 3,695 batang.

“Secara keseluruhan, bilangan pokok yang ditanam menerusi kempen ini meliputi kawasan berkeluasan 22,695 hektar,” jelas agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu.

Kempen itu dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menanam pokok pertama iaitu merbau di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana di sini pada 5 Januari lalu.

Dengan tema ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’, kerajaan menyasarkan 100 juta batang pokok baharu jenis kayu akan ditanam di negara ini menjelang akhir tahun 2025.

Secara purata, sejumlah 20 juta batang pokok perlu ditanam setiap tahun dalam usaha untuk memastikan Malaysia dilitupi sekurang-kurangnya lebih 50 peratus kawasan yang berhutan.

Langkah tersebut sejajar Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 lalu yang sekali gus bakal meningkatkan zon hutan sehingga 80,000 hektar dalam masa lima tahun.

Mereka yang berminat menyertai kempen ini, boleh menelusuri aplikasi mudah alih dan laman sesawang rasmi www.100jutapokok.gov.my untuk merekodkan pokok yang sudah ditanam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya