KLANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengarahkan syarikat pembuatan sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) menghentikan operasi lapan buah kilangnya, baru-baru ini.
Jawatankuasa tersebut berkata, tindakan berkenaan dibuat setelah menjalankan operasi pemeriksaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Isnin lalu.
“Operasi ini dijalankan susulan aduan daripada orang ramai yang tular di media sosial yang mendakwa pihak kilang Top Glove telah melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa di daerah Klang, ketika ini.
“Semasa pemeriksaan dibuat didapati terdapat sedikit kekeliruan berhubung kebenaran pengoperasian yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada pihak Top Glove,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, kebenaran yang dikeluarkan MITI itu tidak boleh diguna pakai apabila Klang diwartakan sebagai kawasan PKPD.