Lagi pekerja kilang bertempiaran lari - Utusan Malaysia

Lagi pekerja kilang bertempiaran lari

TANGKAP layar video memaparkan pekerja dipercayai di sebuah kilang dipercayai di Klang, Selangor lari ke dalam ladang sawit untuk mengelak daripada pemeriksaan polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Satu video tular dalam media sosial memaparkan sekumpulan pekerja kilang dipercayai di Klang, Selangor bertempiaran lari meninggalkan premis dan masuk ke dalam kawasan ladang kelapa sawit.

Menerusi video berkenaan lebih 30 pekerja dilihat berlari dengan keadaan masih memakai uniform dan penutup kepala dipercayai cuba mengelak daripada ditangkap polis.

Berdasarkan video itu juga, hanya sebahagian pekerja yang lari dan dipercayai mereka adalah pekerja asing yang takut ditangkap ketika pemeriksaan polis terhadap kilang terbabit.

“Woi lari, lari.. polis, polis. Lari, lari. Hah tau pun takut,” demikian dialog yang dapat didengari menerusi rakaman video itu.

Bagaimanapun, lokasi dan punca kejadian masih belum diketahui sementara Ibu pejabat Polis (IPD) Klang Utara dalam mesej ringkasnya memaklumkan lokasi insiden itu bukan dalam kawasannya.

Sehubungan itu, Utusan Online sedang berusaha mendapatkan pengesahan daripada Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Selangor bagi memastikan operasi yang dijalankan dan sebarang tindakan yang diambil oleh  polis.

Sebelum ini, turut tular sebuah rakaman video yang memaparkan pekerja kilang memanjat pagar lari meninggalkan tempat kerja di Seksyen 22, Shah Alam.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan pekerja kilang terbabit lari selepas terdengar bunyi penggera kebakaran dan menafikan pihaknya membuat serbuan di sana.

Sebagai makluman, lapan daerah di Selangor dan 14 kawasan di Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 16 Julai ini.

Susulan penguatkuasaan itu, beberapa kilang bukan perlu (essential) yang sebelum ini mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak dibenarkan beroperasi.

Malah, jumlah pekerja yang dibenarkan bekerja bagi sektor dibenarkan masih kekal tidak melebihi 60 peratus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya