SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa berkaitan kawalan jangkitan penyakit untuk menutup kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja.
Sebaliknya, kuasa itu terletak di bawah Kerajaan Persekutuan untuk menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membolehkan arahan penutupan kilang atau premis perniagaan dibuat.
Hal berkenaan dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Selangor, Ng Sze Han yang berkata, PBT di negeri itu hanya mempunyai kuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) untuk menutup kilang dan membatalkan lesen.
Katanya, namun kuasa itu terhad dan tidak melibatkan Akta 342 dan tindakan pembatalan lesen tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
“Walaupun seksyen yang dirujuk seakan-akan memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera di dalam lesen pada waktu dikeluarkan dan bukannya bersifat arbitrari, dilakukan secara sewenang-wenangnya atau tanpa asas.
“Lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh PBT adalah sebagaimana yang tertakluk di bawah Akta 171 sahaja dan tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempersoal Kerajaan Negeri Selangor tidak menutup kilang di negeri itu menggunakan kuasa di bawah PBT termasuk membatalkan lesen tanpa sebab.
Beliau mendakwa, di bawah Seksyen 102(s) di bawah bidang kuasa tambahan, PBT diberi kuasa (melalui kaedah pelesenan) untuk mengawal, menyelia (termasuk menutup) perniagaan atau perindustrian dari jenis yang memudaratkan orang ramai.
Bagaimanapun, Sze Han yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara menjelaskan, Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Persekutuan melalui Seksyen 3 (1) untuk melantik Pegawai Kesihatan ataupun pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal Covid-19.
Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan kali pertama yang bermula pada 18 Mac 2020, pegawai-pegawai yang diberi amanah menguatkuasakan peruntukan Akta 342 melalui Seksyen 3(1) adalah Pegawai Polis DiRaja Malaysia dan Ikatan Relawan Malaysia (Rela).
Katanya lagi, pada 3 Mac 2021, Menteri Kesihatan dan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri telah meminda Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan memperluaskan pegawai yang terlibat merangkumi Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.
“Harus diingatkan pindaan di atas bukan bermaksud PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang. Kuasa tersebut masih di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Operasi (Op) Patuh. Operasi tersebut telah dilaksanakan oleh suatu Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri yang mana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE