PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menafikan terlibat dalam operasi penguatkuasaan melibatkan pekerja asing sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah sebagaimana tular rakaman video di Facebook.
KSM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan dan semakan mendapati video berkenaan adalah video lama bertarikh September 2019 melibatkan sebuah kilang memproses ayam di Merlimau, Melaka.
Katanya, keadaan yang dirakamkan adalah situasi akibat kebocoran gas ammonia dalam kilang tersebut dan bukanlah di premis kilang pengeluar sarung tangan getah.
“KSM juga dimaklumkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) cawangan IPD Melaka Tengah menerima laporan berhubung video yang sedang tular tersebut dan pihak mereka sedang menyiasat perkara berkenaan di bawah Seksyen 112 KPJ,” katanya hari ini.
KSM berkata, menurut laporan semasa kejadian berlaku, pihak polis dan bomba cawangan Merlimau yang berada di lokasi ketika itu bertindak mengarahkan para pekerja untuk keluar daripada kilang memandangkan gas tersebut mula tersebar melalui udara.
Jelasnya, salah seorang pekerja yang menyedari ada pihak merakam situasi mereka cuba bergurau dengan menyatakan seolah-olah mereka sedang dikejar sepertimana pekerja asing tanpa izin (PATI) melarikan diri.
“Kejadian yang dirakam dalam video tersebut juga disahkan secara berdokumen oleh pihak polis Merlimau dan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) cawangan Melaka,” katanya. – UTUSAN ONLINE