PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencadangkan badan-badan bantuan kemanusiaan membeli barang keperluan daripada pemborong bagi mengelakkan bekalan di peringkat peruncit habis.
KPDNHEP menerusi kenyataan akhbar memaklumkan, pihaknya mendapat maklumat bahawa beberapa barang keperluan seperti beras, minyak masak, telur, tepung dan gula habis di sebuah peruncit di Seksyen 27 Shah Alam baru-baru ini akibat dibeli untuk tujuan bantuan kemanusiaan.
“Pembelian berlebihan itu menyebabkan pengguna di kawasan tersebut ‘terputus bekalan’ dan terpaksa membeli daripada peruncit yang jauh sedikit atau menunggu sehingga bekalan baru sampai ke peruncit tersebut.
“Situasi rak-rak kosong sesuatu barangan keperluan di sesebuah premis peruncit dibimbangi boleh membawa kepada reaksi negatif seperti pembelian panik di kalangan pengguna,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan dan badan bantuan kemanusiaan amatlah diharapkan supaya tidak mewujudkan suasana yang tidak stabil akibat salah faham terhadap bekalan dan harga barang keperluan.
Menurutnya, KPDNHEP menyampaikan penghargaan dan rasa terima kasih atas wujudnya badan-badan bantuan kemanusian dan NGO yang membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 yang memerlukan bantuan terutama barang keperluan harian.
“Sumbangan ikhlas badan-badan kemanusian ini dalam menyantuni golongan tidak bernasib baik itu sangat disanjung tinggi.
“Mereka mencari golongan sasar, mengumpul dana, membeli barang keperluan dan mengagihkan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE