KUALA KANGSAR: Seorang bakal jururawat didenda RM7,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini setelah mengaku bersalah menyebarkan berita tidak benar berkenaan kematian seorang anggota polis yang didakwa disebabkan suntikan vaksin Covid-19, April lalu.
Tertuduh, Junaidah Tekat, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook di bawah profil akaun ‘Junaidah June’ telah menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar iaitu; “Di Gerik hari ini diperakui satu lagi kematian berlaku melibatkan anggota polis. Komplikasi suntikan vaksin dos ke-2. Salam takziah. Semoga kebajikan ahli keluarga arwah terjaga”.
Perbuatan itu dikesan di pejabat Hal Ehwal Awam/Pesara Polis, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik kira-kira pukul 9.40 pagi, 4 April 2021.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Azlina Rasdi dan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh yang baharu menamatkan pengajian di sebuah institut kejururawatan diwakili peguam, Henie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Hakim Rohaida menjatuhi hukuman denda RM7,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh membayar denda berkenaan.
Media pada April lalu melaporkan polis sedang mengesan seorang individu bagi membantu siasatan kes tular dalam media sosial kononnya seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 58 tahun yang bertugas di Lawin, Gerik meninggal dunia akibat komplikasi dos kedua vaksin Covid-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tindakan tidak bertanggungjawab individu itu telah mendatangkan kegusaran kepada orang ramai untuk menerima suntikan berkenaan.
“Berita kematian anggota itu tidak benar. Dia sebenarnya sedang menerima rawatan di Hospital Taiping kerana mengalami masalah jantung tersumbat,” katanya. – UTUSAN ONLINE