MELAKA: Sebuah kilang komponen elektronik di Batu Berendam di sini ditutup kali ketiga selepas merekodkan trend tinggi penularan Covid-19 dengan jumlah kumulatif positif mencecah 1,000 kes, sehingga kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia diarahkan menutup pengoperasiannya di blok 3 dan 4 pada 29 Jun sehingga 16 Julai ini.
Katanya, trend penularan bagaimanapun turut berlaku di Blok 5 dan 6 yang kemudian diarahkan ditutup bermula kelmarin sehingga 21 Julai depan.
“Empat daripada sembilan blok di kilang tersebut diarahkan ditutup serta-merta selepas berlaku trend penularan yang membabitkan Kluster Berendam.
“Sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 kluster terbabit telah mencecah 1,000 kes,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau hari pertama pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 493 individu yang positif adalah pekerja kilang, manakala 488 melibatkan ahli keluarga mereka dan baki 19 adalah kontak sosial.
Terdahulu, kilang terbabit diarahkan ditutup pertama kali selama seminggu pada November tahun lalu dan seramai 8,000 pekerja diarahkan untuk menjalani saringan Covid-19 selepas beberapa kakitangan disahkan positif dan mencetuskan Kluster Berendam.
Pada bulan lalu, kilang tersebut ditutup sekali lagi selepas seramai 299 pekerjanya termasuk beberapa ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19. – UTUSAN