Kes RM27 juta dana SRC: Pihak-pihak mohon penangguhan - Utusan Malaysia

Kes RM27 juta dana SRC: Pihak-pihak mohon penangguhan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dan pembelaan dalam satu lagi kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, memohon perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan sehingga rayuan kes SRC International Sdn. Bhd. yang juga membabitkan bekas Perdana Menteri, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Perbicaraan bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta itu dijadualkan didengar Isnin ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul ketika ditemui pihak media selepas pengurusan kes tersebut memberitahu, perbicaraan sepatutnya didengar sehingga 9 Ogos ini dan beberapa tarikh pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak memohon penangguhan atas alasan rayuan kes SRC International melibatkan dana RM42 juta masih belum diputuskan dan kemungkinan akan berlarutan hingga ke Mahkamah Persekutuan.

Menurut Mohd. Ashrof, penangguhan adalah munasabah oleh kerana bukti dalam kes kedua-duanya saling berkaitan melibatkan jejak wang yang sama.

Jelasnya, oleh yang demikian, pihak pendakwaan juga akan menulis surat bagi memohon agar kesemua tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan pada pada Mac dan April 2022 ditangguhkan.

Pada prosiding hari ini, peguam Rahmat Mohamed Hazlan bertindak mewakili bekas Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Hakim Mohamed Zaini mengarahkan kedua-dua pihak memohon penangguhan kepada mahkamah secara bertulis.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 200.

Seksyen itu memperuntukan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 28 Julai tahun lalu, Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, selepas mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Najib kini menunggu rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya