PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan menjangkakan kes Covid-19 di Wilayah Persekutuan menurun pada minggu depan hingga akhir bulan ini berikutan keadaan terkawal dan pencapaian peratusan suntikan vaksin yang tinggi.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah kes positif Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan trend penurunan sehingga semalam dengan 1,552 kes direkodkan berbanding 1,598 pada Rabu lalu.
Katanya, kementerian akan terus memperhebatkan program vaksinasi secara besar-besaran agar Wilayah Persekutuan dapat mencapai imuniti kelompok seawal mungkin.
“Ia juga ke arah melaksanakan strategi baharu pasca 80 peratus vaksinasi di Wilayah Persekutuan dengan lebih banyak sektor sosial dan ekonomi boleh dibuka.
“Konsultasi dengan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat, komuniti perniagaan, perwakilan penduduk dan pemegang taruh yang lain sedang giat dilaksanakan bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Berhubung kes semalam, Annuar berkata, jumlah kes yang masih tinggi di Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini adalah susulan kepada ujian saringan terhadap kontak rapat dan kes akibat jangkitan secara sporadik masing-masing 54 peratus dan 28.5 peratus.
Beliau berkata, kes susulan saringan yang dibuat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar adalah 13 peratus di mana majoriti kes positif di PKPD dan kontak rapat isi rumah dikuarantin di rumah menyebabkan penularan kepada ahli keluarga.
“Sebahagian besar kes iaitu 88 peratus adalah dalam kalangan warganegara dan tidak disumbangkan oleh industri pembinaan atau perkilangan (kurang daripada 0.5 peratus).
“Kes di tapak binaan hanya tiga iaitu kurang daripada 0.5 peratus daripada keseluruhan kes,” jelasnya.