SEREMBAN: Keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin disifatkan sebagai mengecewakan.
Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, keputusan UMNO itu dilihat beliau sebagai tidak sesuai ketika negara sedang berada dalam penularan wabak Covid-19
“Saya sangat kecewa dengan keputusan yang dibuat semalam sedangkan negara sedang berhadapan dengan masalah wabak Covid-19 dan semua pihak perlu tangani secara bersama. Saya akan meneruskan sokongan penuh kepada Perdana Menteri.
“Bayangkan telah banyak yang kami lakukan, kerajaan umumkan tujuh pakej rangsangan bernilai RM380 bilion bagi berhadapan penularan wabak Covid-19. Bagi saya kerajaan sudah cuba yang terbaik dan saya agak kecewa dengan keputusan ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian kepada pemberita selepas melawat seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) ‘sindrom down’ di Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah di Temiang dekat sini yang dilaporkan didera di sebuah kondominium oleh penjaganya sebelum ini.
Dalam pada itu, Rina yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
turut mengucapkan tahniah terhadap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Datuk Seri Ismail Sabri layak dan dapat menguatkan lagi barisan Kabinet. Satu langkah yang tepat dan kena pada masanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE