KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 9 September ini bagi memutuskan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan kes solar yang dihadapinya.
Isteri bekas Perdana Menteri turut mengemukakan permohonan agar mahkamah mengisytiharkan prosiding kes rasuahnya, terbatal.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan peguam-peguam yang mewakili Rosmah.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah, pelantikan beliau selaku pendakwa raya bermula 30 Ogos 2018, adalah sah.
Beliau berhujah, ini kerana Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388) menyatakan mana-mana badan boleh melantik individu yang sesuai secara kebelakang (retrospektif) untuk melaksanakan tugasnya.
Hujah Sri Ram, Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa kepada Peguam Negara melantik timbalan pendakwa raya untuk menjalankan tugas pendakwa raya.
Sehubungan itu, beliau berhujah, pelantikan yang dibuat oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah walaupun surat lantikan ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bertarikh 21 Mei lalu.
Selain itu, Tommy dalam afidavit yang diikrarkannya pada 11 Mei lalu turut mengesahkan bahawa beliau sendiri memberi kuasa pendakwa raya kepada Sri Ram untuk mengendalikan pendakwaan terhadap Rosmah.
Oleh yang demikian, Sri Ram berhujah, permohonan Rosmah agar perbicaraannya diisytiharkan tidak sah dan terbatal, adalah akademik dan wajar ditolak.
Pihak pendakwaan dalam hujahan bertulis turut menyatakan, pelantikan Sri Ram selaku pendakwa raya dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah tidak sepatutnya dipertikai lagi dan dijadikan isu pada peringkat ini.
Ini kerana Mahkamah Persekutuan pada 2019 telah memuktamadkan isu pelantikan peguam berpengalaman itu mengetuai pasukan pendakwaan ketika menolak permohonan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut memohon agar Sri Ram digugurkan daripada pasukan pendakwaan kesnya.
Kes terhadap Rosmah, 69, berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak kini di peringkat bela diri.
Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.
Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.