TOKYO: Cuaca panas menjadi kerisauan utama di Sukan Olimpik Tokyo kerana ia dilihat bakal memberi ancaman kepada atlet yang bertanding.
Olimpik dan Paralimpik Tokyo dijangka menjadi temasya paling panas dalam sejarah sukan berkenaan, dengan cuaca dijangka mencecah 33 darjah Celcius dan kelembapan tinggi.
Keadaan itu boleh menyebabkan penyahhidratan, keletihan dan strok haba kepada atlet serta kakitangan.
Jumaat lalu, pemanah Russia Svetlana Gomboeva pitam ketika pusingan kelayakan akibat kepanasan, dan pemain tenis nombor dua dunia Daniil Medvedev memberitahu, cuaca di Tokyo adalah keadaan paling teruk pernah diharunginya.
“Ia seperti anda berada di dalam sauna atau seumpamanya. Terdapat banyak pelepasan haba seperti pendingan hawa dan kenderaan, serta kurang kawasan hijau di tengah kota,” kata profesor di Universiti Tokyo, Makoto Yokohari.
Pada sebelah malam, apabila suhu menurun, laluan asfalt dan konkrit akan mengeluarkan haba yang terperangkap ketika di siang hari.
Darjah kepanasan di Tokyo hanyalah sebahagian daripada punca kepanasan melampau. Tahap kelembapan tinggi yang melambatkan pengeringan peluh seseorang turut memainkan peranan penting.-AGENSI