JOHOR BAHRU: DAP Johor mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dimulakan dengan tindakan pengkhianatan berakhir dengan satu tindakan penderhakaan terhadap Raja-raja Melayu.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini menambah kepada episod kegagalan kerajaan PN ketika ini.
“Ternyata, setahun lebih kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir negara hanya menyaksikan kerajaan ini bermula dengan sebuah pengkhianatan terhadap mandat rakyat dan berakhir dengan penderhakaan terhadap Raja-raja Melayu.
“Kerajaan PN adalah sebuah episod ‘Kerajaan Gagal’ yang hakikatnya menjadi sebuah perikatan yang terhasil daripada ‘Pengkhianatan Nasional’ dan kini ‘Penderhakaan Nasional’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong berdukacita dengan tindakan kerajaan yang membatalkan Ordinan Darurat walhal perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Sheikh Umar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh turut memberitahu, tindakan kerajaan PN itu adalah satu titik yang akan menjadi sejarah dalam pentadbiran kerajaan di negara ini.
“Ini adalah satu titik sejarah yang akan disaksikan semua anak Malaysia tanpa mengira bangsa di tanah tumpah darah tercinta ini bagaimana kerajaan yang ada tidak menjunjung keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang bahkan mengkesampingkan peranan Raja-raja Melayu seperti mana diperakukan dalam semangat Raja Berperlembagaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE