Kenderaan ke Kelantan meningkat di Jalan Raya Timur Barat

Kenderaan ke Kelantan meningkat di Jalan Raya Timur Barat

MIOR FARIDALATHRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kemasukan kenderaan ke Kelantan menggunakan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik meningkat berbanding kebiasaan dipercayai untuk balik ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bagaimanapun berkata, semua kenderaan berkenaan mempunyai kelulusan dan kebenaran untuk merentas dengan kebanyakannya adalah melibatkan pasangan jarak jauh (PJJ).

Katanya, perjalanan melibatkan PJJ itu kebanyakannya dari Pulau Pinang selain Perak dan Perlis yang berada dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Terdapat sedikit peningkatan antara satu ke dua peratus jumlah pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9 JRTB Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey.

“Kebanyakan pengguna jalan raya yang merentas negeri ke Kelantan adalah atas urusan perhubungan jarak jauh dari negeri Fasa Kedua PPN,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, kenderaan-kenderaan yang bergerak atas urusan ekonomi itu juga mempunyai kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi berkaitan.

Katanya, semakan juga mendapati, pergerakan ke Kelantan itu juga atas urusan temujanji hospital dan juga vaksinasi.

“Berdasarkan pemerhatian, jumlah kenderaan yang memasuki negeri Perak tidak menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Pemeriksaan lebih rapi akan dijalankan di SJR di sempadan negeri di mana kita akan mengeluarkan kompaun serta mengarahkan berpatah balik sekiranya didapati pergerakan itu tidak mempunyai surat kebenaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) masuk ke negeri ini didapati normal dan tidak menunjukkan peningkatan.

Malah katanya, JRTB yang merupakan jalan utama menghubungkan negeri Perak, Kelantan dan Kedah juga menunjukkan tiada peningkatan aliran kenderaan yang luar biasa.

“Aliran Trafik yang direkodkan sejak semalam juga masih di skala satu dan tiada peningkatan jumlah kenderaan di semua Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh Perak.

“Pasukan Pemantauan Lalulintas JSPT Perak juga telah melakukan rondaan dan persediaan bantuan kawalan lalu lintas (Jammed Skuad) di seluruh negeri bermula semalam,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan aliran trafik akan kekal normal dan tiada pertambahan jumlah kenderaan yang luar biasa kerana semua SJR Covid-19 di sempadan daerah dan negeri Perak diperketatkan sempena perayaan Aidiladha. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya