Kempen Bendera Putih bukan agenda politik - Utusan Malaysia

Kempen Bendera Putih bukan agenda politik

OH Tong Keong (kiri) menyerahkan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sekitar Bayan Baru, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Gerakan Pulau Pinang mahu semua pihak termasuk ahli politik melihat kempen bendera putih yang dimulakan rakyat sebagai satu gerakan keprihatinan untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa sebarang unsur politik.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, wakil rakyat dan pemimpin mana-mana parti politik harus bekerjasama dan memberi bantuan dengan segera kepada rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Kempen ini diadakan semata-mata untuk menunjukkan keprihatinan rakyat terhadap mereka yang memerlukan bantuan serta mencerminkan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sejak Isnin lalu, satu kempen mengajak orang ramai untuk mengibarkan bendera berwarna putih sekiranya memerlukan bantuan tular di dalam pelbagai platform media sosial.

Menurut Tong Keong, negara kini berada di dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan hanya akan beralih ke fasa kedua apabila mencapai tiga penanda aras yang digariskan.

Katanya, dalam tempoh fasa pertama PPN, masih banyak sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi sekali gus mengakibatkan kehidupan rakyat terkesan.

“Ini antara sebabnya semakin banyak keluarga mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan.

“Rakyat yang menghadapi masalah dan memerlukan bantuan boleh kibarkan bendera putih, jangan segan dan malu untuk meminta bantuan kerana tindakan ini menunjukkan keberanian mereka berdepan dengan cabaran,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, walaupun kerajaan negeri memperuntukkan RM1.04 juta kepada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di mana setiap ADUN secara purata akan memperoleh RM26,000, namun jumlah itu disifatkan tidak mencukupi untuk membantu rakyat.

“Kami menyambut baik usaha kerajaan negeri tetapi adalah lebih baik dan efektif untuk membantu penduduk sekiranya kerajaan negeri menambah jumlah peruntukan ini.

“Kami berharap kerajan negeri menyalurkan peruntukan sejumlah RM1.04 juta itu kepada setiap ADUN dengan secepat mungkin supaya bantuan kepada rakyat yang memerlukan bantuan dapat disegerakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya