Kempen bendera hitam menyusahkan rakyat - Utusan Malaysia

Kempen bendera hitam menyusahkan rakyat

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kempen mengibarkan bendera hitam sebagai tanda kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya memburukan lagi kesusahan rakyat yang terjejas kehidupan mereka ketika
kemelut pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kempen itu tidak membantu rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) malah tiada kena mengena dengan usaha membantu rakyat.

Menurutnya, sebaliknya kempen itu menyebabkan fokus membantu rakyat tidak dapat diberikan sepenuhnya.

“Kalau masa ini masing-masing nak berpolitik, saya tidak setuju. Ketika rakyat amat terkesan akibat pandemik ini, tapi lebih ramai yang nak berpolitik, desak Parlimen dan DUN bersidang,
ahli politik lebih sibuk nak menjatuhkan kerajaan dan ini akan menyebabkan fokus untuk membantu rakyat diketepikan.

“Jadi saya fikir kita jangan dimomokkan dengan orang politik atau kumpulan tertentu yang mempunyai kepentingan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, jika ada sebarang pandangan, gunakan saluran yang betul bukan sebaliknya berkempen kerajaan gagal.

“Kempen kibar bendera hitam ini tiada kena mengena dengan kesusahan rakyat ketika ini. Sepatutnya fokus dan tindakan kita biarlah ke arah yang dapat membantu rakyat, bukan menambah buruk kemelut yang sedia ada,” kata Faizal.

Semalam, Media Sekretariat Solidariti Rakyat menggalakkan kempen mengibarkan bendera hitam bermula hari ini di hadapan rumah, kedai, jalan atau tempat sesuai sebagai tanda
kekecewaan terhadap kerajaan PN.

Mengenai kempen kibar bendera putih sebagai isyarat rakyat memerlukan bantuan, Ahmad Faizal berkata, mereka yang berbuat demikian menunjukkan keadaan terdesak atau darurat
dan memerlukan bantuan.

Katanya, tindakan memberi isyarat sedemikian tidak lari daripada lunas agama.

“Mereka yang memberi isyarat dalam kesusahan tentunya bukan suka-suka untuk berbuat demikian. Kami di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun akan menziarahi dan pastikan mereka
benar-benar perlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal menyambut baik peruntukkan tambahan RM300,000 untuk setiap Ahli Parlimen yang diagihkan melalui program bakul makanan untuk rakyat yang terkesan PKP.

Menurutnya, peruntukan itu membolehkan lebih banyak bantuan diberikan kepada rakyat kerana peruntukan sebelum ini tidak mencukupi.

“Bagi Pusat Khidmat di sini, sejak mula PKP, kami telah mengagihkan 25,000 kotak makanan, 50 tan metrik ayam, 20 tan ikan dan 40 tan sayur selain sumbangan susu, lampin pakai buang
untuk kanak-kanak dan orang tua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya