PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menilai semula strategi sedia ada serta mengenal pasti langkah responsif dan pantas bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ini termasuk situasi di di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu MAEPS 2.0 (PKRC Bersepadu MAEPS 2.0), Selangor bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 khususnya kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat.
Beliau berkata, antara tindakan itu ialah menambah segera katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital kerajaan dan hospital pengajar universiti, contohnya menambah sebanyak 20 unit katil ICU tambahan di Hospital Ampang serta lapan unit katil ICU dan 45 unit katil wad tambahan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia mulai semalam.
Katanya, ini bagi membolehkan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 dipindahkan segera dari PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 ke hospital sebagai usaha untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.
“Selain itu ialah melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dengan sejumlah 60 katil dan peralatan tambahan dianggarkan berjumlah RM1.1 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital tersebut menerima pesakit khususnya pesakit Covid-19.
“Menubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR Klang, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adham berkata, kementerian juga memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 bagi Kategori 3 dan Kategori 4
Beliau memberitahu, kementerian melaksanakan segera penugasan semula (mobilisasi sementara) lebih 110 orang petugas kesihatan yang terdiri daripada lebih 75 orang pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu.
Ini termasuk katanya, seramai 43 pegawai perubatan dari hospital di Lembah Klang ke PKRC MAEPS berkuat kuasa hari ini untuk tempoh antara satu hingga enam bulan bagi menyokong PRKC itu bagi merawat pesakit Covid-19.
“Lebih ramai petugas dari kawasan-kawasan lain yang lebih terkawal keadaannya, sedang giat diusahakan untuk ditempatkan di Lembah Klang,” katanya.
Dalam pada itu, Adham berkata, peralatan perubatan turut ditambah segera seperti penambahan sebanyak 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
Katanya, penambahan silinder oksigen tersebut meliputi sebanyak 400 unit silinder oksigen bersaiz 6.8m3, sebanyak 1,000 unit silinder oksigen bersaiz 1.4m3 dan sebanyak 150 unit silinder oksigen bersaiz 0.7m3 untuk keperluan di dalam ambulans.
Beliau menjelaskan, bagi memastikan pembekalan oksigen ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 tidak terganggu, kementerian memutuskan membuat perolehan oxygen concentrator sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih dari satu pembekal.
“Kerja pengujian dan penyerahan (testing and commissioning) dilakukan pada malam semalam bagi 30 unit oxygen concentrator baharu di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 agar peralatan tersebut dapat digunakan segera untuk perawatan pesakit,” katanya.
Selain itu, kata Adham, Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh dioperasikan semula yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil sekali gus membolehkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 ditempatkan di situ agar PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4.
Katanya, pekerja sukarelawan turut disediakan terutama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu menjaga pesakit Covid-19 kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka sedang dirawat di hospital kerana Covid-19 dan bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta dan pihak majikan untuk menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan menubuhkan PKRC.
“Kementerian berharap dengan pelaksanaan langkah ini dapat meningkatkan kesiapsiagaan hospital kerajaan, hospital pengajar universiti, hospital ATM, hospital medan ATM dan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19.
“Walau apapun langkah diambil, langkah pencegahan dan kawalan khususnya setiap individu dalam masyarakat adalah penting bagi menghentikan penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu, Adham berkata, kementerian mengharapkan semua pihak terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, terus berada di rumah dan sentiasa meningkatkan kepatuhan kepada amalan normal baharu. – UTUSAN