KUALA LUMPUR : Khabar duka menimpa penyanyi Nur Fatima Abdul Wahab, 38, apabila abangnya, Amirul Hafiz Abdul Wahab, 44, disahkan meninggal dunia pada pukul 3.47 petang di Hospital Selayang, semalam.
Menurut penyanyi tersebut, Allahyarham abangnya meninggal dunia kerana sudah lama menderita penyakit Pankreatitis Akut yang kritikal dan perkara tersebut menyebabkan dirinya berasa ralat kerana tidak dapat pulang ke tanah air untuk bersama keluarga.
“Sudah lama arwah terlantar di hospital dan ibu saya ada menemaninya di hospital sejak dua tiga hari ini. Tadi, difahamkan, oksigennya semakin menurun sekaligus menyebabkan jantungnya terhenti.
“Sebelum ini, pernah terjadi perkara yang serupa tetapi doktor ada melakukan resusitasi namun terlalu sakit untuk dirinya. Jadi kali ini kami sekeluarga membuat keputusan untuk tidak lagi begitu kerana bimbang menyeksa dirinya.
“Jadi, kami semua reda. Arwah pergi dengan tenang cuma saya rasa ralat dan sedih tak dapat pulang ke tanah air. Lagipun jika balik, kena kuarantin dua minggu dan tak sempat bersama keluarga untuk urusan pengebumian. Kes Covid-19 juga masih tinggi di Malaysia,”katanya.
Nur Fatima yang kini menetap di Australia berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, menurut Nur Fatima, dia bersyukur kerana sempat menghubungi arwah abangnya menerusi panggilan video dari semasa ke semasa walaupun arwah tidak boleh bercakap.
“Tahun lepas pun, masa saya dapat pulang ke tanah air, saya bersyukur dapat menghabiskan masa dengan arwah dan keluarga. Selalu makan malam bersama-sama sebelum saya pulang ke Australia Julai tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Fatima menyifatkan arwah sebagai seorang yang artistik dan berbakat dalam bidang seni semasa hayatnya selain merupakan orang terdekat dengannya yang memberi inspirasi buat dirinya dan anak-anak saudaranya dalam bidang seni lukis.
“Kami semua boleh melukis. Termasuk anak-anak arwah. Dia bagi saya adalah seorang yang sangat penyayang pada anak-anak, seorang yang menyenangkan dan tak pernah tinggal solat.
“Saya memang ralat tak dapat balik menjenguknya buat kali terakhir, tapi apakan daya keadaan pada waktu ini tidak mengizinkan termasuk saya yang masih belum menerima suntikan vaksin. Saya dan suami hanya mampu mendoakan dari jauh agar segala urusan keluarga di Malaysia dipermudahkanNya,”katanya.
Nur Fatima menetap di Australia sejak tahun 2009 selepas mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Mohd Jeffry Wain Wright.
Sebelum pandemik melanda dunia, Nur Fatima sering berulang-alik ke tanah air dan Australia untuk urusan keluarga dan kerjaya seni muziknya di sini.