KOTA BHARU – Kelantan FC yang nyaris dimalukan oleh Skuad Projek FAM-MSN berjaya bangkit melakar kemenangan tipis 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad, di sini, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, Chistos Intzidis dan Ismail Ibrahim menjadi wira Kelantan FC apabila menghadiahkan jaringan berharga buat pasukannya masing-masing pada minit ke-83 dan 90.
Aksi babak pertama, Kelantan FC gagal memecah kebuntuan jaringan apabila setiap peluang terhidang berjaya dipatahkan dengan ‘sempurna’ oleh Skuad Projek FAM-MSN.
Pelawat yang dikemudi oleh Yusri Che Lah hampir membuka tirai jaringan sulung pada perlawanan itu namun penjaga gawang The Red Warriors (TRW) Mohamad Faridzuean Kamarudin tenang menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi lawan pada minit-minit akhir separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Yusri dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan menerusi beberapa serangan yang berbahaya ke kubu Kelantan.
Minit ke-54 pelawat ‘menghadiahkan’ mimpi ‘ngeri’ buat tuan rumah apabila meledak jaringan pertama pada minit ke-54 menerusi Azhad Harraz Arman.
Azhad Harraz terus menjadi duri dalam daging buat TRW apabila sekali lagi hampir menambah derita tuan rumah pada minit ke-68, tetapi sayang rembatan kencangnya sekadar melewati gawang tuan rumah meskipunMohamad Faridzuean.
Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah cuba bangkit menerusi beberapa peluang terhidang namun gagal dinoktahkan ke dalam bentuk jaringan.
Tuan rumah sewajarnya berterima kasih kepada Chistos Intzidis apabila tandukannya pada minit ke-83 menghadiahkan jaringan penyamaan sekaligus menyelamatkan maruah TRW.
Tuah sekali lagi berpihak kepada Kelantan FC apabila Ismail menghadiahkan jaringan kemenangan buat rumah sekaligus meraih tiga mata penuh.