KUALA LUMPUR: Penyanyi, Naqiu mengakui pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad berjaya menyerlahkan sisi dirinya yang lain demi menjayakan watak dibawakannya dalam filem Mat Bond Malaya.
Kata Naqiu, itu adalah antara sebab mengapa peminatnya perlu menonton filem tersebut.
“Umum tahu saya seorang penyanyi. Tetapi kalau nak tengok sisi lain saya, tontonlah Mat Bond Malaya.
“Nabil berjaya serlahkannya. Sejujurnya, untuk menghidupkan watak ini saya tiada rujukan lain selain Nabil,” katanya yang pertama kali berlakon.
Dalam pada itu, Naqiu turut mengakui sedikit kekok berlakon disamping pelakon dan penyanyi cantik, Elizabeth Tan.
“Bila diberitahu akan berlakon disamping Elizabeth, saya risau jika ada yang kata hero tidak sepadan heroin. Tetapi realitinya orang memang nampak perkara itu
“Kami berdua tidak banyak bercakap di luar set. Tetapi apabila depan kamera, masing-masing profesional,” katanya jujur.
Mat Bond Malaya arahan sulung Nabil dibintangi Naqiu, Elizabeth Tan, Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar, Farid Halus dan ramai lagi. Filem ini mula ditayangkan hari ini di saluran Astro First, 480.