PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menegaskan kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19 sebenarnya adalah kemudahan berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan sebelum ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya sudah membentangkan kemudahan terbabit kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya mereka yang sudah lengkap vaksin mendapat kemudahan yang digariskan.
Katanya, kemudahan ini berdasarkan kriteria yang perlu dicapai malah terdapat beberapa lokasi yang sudah mencapai atau melebihi 40 peratus kadar vaksinasi.
“Buat masa ini, sebanyak 21.8 peratus rakyat Malaysia sudah divaksin dan 46.7 peratus sudah mendapat satu dos.
“Bagi membolehkan fasa tiga dapat dilaksanakan, sekurang-kurangnya 40 peratus orang perlu lengkap dua dos vaksin namun terdapat beberapa tempat yang sudah mencapai jumlah yang ditetapkan dan ada yang lebih,” katanya.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Adham berkata, bagaimanapun, perkara ini akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan pakar yang mahu kerajaan menangguhkan kelonggaran berkaitan mereka yang lengkap dua dos.