PUTRAJAYA: Keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri tidak mengubah kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Bercakap kepada Utusan Online, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, tindakan UMNO itu juga tidak secara automatik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini sudah tumbang melainkan Muhyiddin sudah berada dalam satu kerajaan minoriti negatif.
Beliau berkata, kedudukan kerajaan sama ada tumbang atau sebaliknya perlu dibuktikan pelbagai cara, iaitu salah satunya melalui persidangan Dewan Rakyat.
“Pilihan lain ialah akuan bersumpah (SD) sama ada benar Muhyiddin tidak mendapat sokongan atau sebaliknya atau melalui penolakan Belanjawan 2021.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga pilihan ini tidak mungkin berlaku ketika ini. Jadi untuk sementara waktu, kedudukan Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri sehinggalah beliau dibuktikan bahawa UMNO atau pembangkang sudah punya sokongan melebihi dalam Dewan Rakyat atau melalui SD,” katanya di sini semalam.
Menurut Jeniri, jika UMNO atau pembangkang tidak dapat majoriti yang positif, maka Muhyiddin dapat terus mentadbir.
Beliau berkata, pilihan lain yang boleh dilakukan Muhyiddin adalah mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara mengejut yang akan diputuskan oleh beliau sendiri.
Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan sekaran ini, Muhyiddin dipercayai tidak berbuat demikian atau mencadangkan supaya Dewan Rakyat dibubarkan.
Namun, beliau menjangkakan Mesyarat Khas Parlimen pada 26 Julai ini mencetuskan suasana hangat berikutan situasi kemelut politik ketika ini.
“Jika itu terjadi, perlu diingatkan ada peraturan tertentu perlu diikuti adakah perkara itu dapat dibincangkan atau tidak kerana ada prosedur tertentu sama ada dibenarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibahaskan,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukan menteri-menteri UMNO yang menganggotai Kabinet ketika ini, beliau berkata, ia bergantung kepada keputusan kluster-kluster dalam UMNO itu sendiri kerana parti itu sudah diketahui umum berpecah kepada dua puak yang menyokong Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri.
Justeru, katanya, segala keputusan sama ada kedua-dua puak itu akur secara menyeluruh kepada keputusan Majlis Tertinggi UMNO atau mereka terus berada dalam Kabinet.
“Namun, sebarang keputusan yang dibuat pasti ada implikasinya bagi kedudukan mereka (jemaah menteri) dalam UMNO itu sendiri menjelang PRU akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE