KUANTAN: Operasi pembersihan kebun durian haram dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub diteruskan seperti dijadualkan.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Mohd. Hizamri Mohd. Yassin berkata, tidak ada arahan untuk berunding dengan mana-mana pihak bagi menghentikan operasi yang bermula Ahad lalu itu.
“Kita tidak menerima arahan khusus daripada kerajaan negeri untuk berunding dan sebagainya. Kalau kerajaan negeri suruh berunding, kita berunding, tetapi setakat ini tidak ada (arahan) jadi operasi diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara JPNP dan WASCO (Malaysia) Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Mohd. Hizamri memaklumkan operasi berkenaan melibatkan kawasan seluas 101 hektar dan semua pokok durian yang ditebang akan digantikan dengan pokok hutan yang bersesuaian.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya pernah menganjurkan sesi dialog bersama pengusaha kebun durian haram itu sekitar 2019, namun tidak mendapat reaksi positif selepas pihaknya mencadangkan pengusaha terbabit mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan negeri.
“Sesi ‘engagement’ bersama mereka (pengusaha kebun durian haram) pernah kita buat sebelum ini, tapi tidak semua yang memberi ‘respon’ yang positif.
“Jika buat permohonan, kita boleh tengok (pertimbangkan) jika mereka mohon, kita kena bagi keluasan tanah secara adil, sebagai contoh, kalau seorang dapat tiga ekar, yang lain pun dapat tiga ekar.
“Jadi mungkin inilah sebab mereka tidak setuju kerana ada antaranya sudah meneroka lebih dari jumlah (keluasan) yang kita cadangkan itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, JPNP akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika suruhanjaya itu menerima laporan dan membuka kertas siasatan berhubung penanaman pokok durian Musang King di kawasan HSK Batu Talam.
Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan apa sahaja maklumat dan laporan yang diberikan mana-mana pihak kepada SPRM dalam isu hutan simpan itu.
“Saya tidak ada masalah, kalau ada (pihak mendakwa berlaku rasuah), sila buat laporan kepada SPRM dan biar mereka (SPRM) siasat. Kita akan beri kerjasama penuh bagi memastikan perkara ini (dakwaan rasuah) dapat diselesaikan untuk kebaikan semua,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan pencerobohan oleh pekebun durian di HSK Batu Talam itu sudah berlaku kira-kira 20 tahun lalu dan tidak menolak kemungkinan ada pihak terlepas pandang kewujudan kebun haram di situ sebelum ini.
“Seperti semua tahu, benda ini sudah lama, suddah 20 tahun, mungkin sebelum ini kita tidak tahu, macam saya, baru dua tiga tahun di sini, jadi sekarang kita cuba buat yang terbaik untuk memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya. – UTUSAN ONLINE