Kebimbangan cubaan rentas negeri, daerah: Lonjakan jangkitan di luar bandar - Utusan Malaysia

Kebimbangan cubaan rentas negeri, daerah: Lonjakan jangkitan di luar bandar

PIHAK berkuasa keselamatan perlu mengetatkan kawalan bagi mengelak rentas daerah dan negeri menjelang Aidiladha. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lonjakan jangkitan baharu di setiap negeri terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar dijangka boleh berlaku jika masih terdapat cubaan merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Pakar-pakar juga menyatakan kebimbangan sekiranya masih ramai yang berdegil melakukan cubaan atau helah bagi meyakinkan pihak berkuasa untuk mereka merentas negeri dan daerah.

Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail menyifatkan ia sebagai satu cubaan yang berbahaya berikutan wabak itu tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Katanya, perkara itu juga amat membimbangkan kerana boleh meningkatkan lagi jangkitan semasa sambutan perayaan itu.

“Lonjakan jangkitan setiap negeri terutamanya di kawasan luar bandar jika masih ramai yang berdegil merentas negeri. Walaupun sambutan Aidiladha mempunyai prosedur operasi standard (SOP), tetapi perkara itu (jangkitan) tetap boleh berlaku.

“Mungkin mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin akan menuntut haknya untuk merentas negeri dan daerah, tetapi perlu diingat jika mereka (lengkap dua dos) itu pembawa, maka dia boleh menjangkiti orang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha.

Bagaimanapun, amaran dan arahan yang sama juga dikeluarkan semasa Hari Raya Aidilfitri sebelum ini, tetapi orang ramai tetap berdegil dengan cubaan merentas daerah dan negeri.

Menurut Ahmad Shukri, pihak berkuasa perlu mengetatkan kawalan dan berhati-hati dalam memberi kebenaran pergerakan kepada mereka yang merentas negeri atau daerah.

“Usaha untuk balik menyambut raya memang hebat khususnya di sebelah pantai timur. Mereka boleh membuat apa sahaja helah untuk meyakinkan pihak berkuasa.

“Memang kebanyakannya sudah penat dan jemu, tetapi wabak ini kita tak nampak. Pihak berkuasa perlu berhati-hati dan buatlah apa sahaja cara untuk ketatkan (pemantauan),” katanya.

Senada dengan beliau, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan perlu lebih tegas kerana rentas negeri tidak sepatutnya dibenarkan.

“Rakyat bosan dan kecewa. Mereka akan usaha sedaya upaya untuk ‘beat the system’. Jadi pemantauan dan ketegasan semasa memberi kebenaran dan di sekatan jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hayati Kadir @ Shahar berkata, pihaknya mengharapkan orang ramai dapat mengambil iktibar dari kisah perayaan yang lepas di mana masih ramai yang tidak mengendahkan larangan rentas negeri.

“Masyarakat sudah dua tahun tidak merayakan aidilfitri bersama-sama keluarga, bahkan kaum lain juga tidak terkecuali. Sepatutnya mereka boleh mula menerima larangan rentas negeri dan daerah oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tambah beliau, semua kawasan sama ada luar bandar atau bandar boleh berlaku peningkatan sekiranya masih ramai yang degil dan cuba untuk merentas negeri.

“Wabak itu tidak memilih kawasan mana anda berada, tetapi memilih perumahnya iaitu manusia. Maka, jika ramai manusia dalam satu tempat, ia saling menjangkiti dan merebak.

“Kita kena balik semula kepada prinsip asas dan dengan itu amalan 3S (ruang sempit, sesak dan sembang dekat) serta 3W (wash, wear, warn) itu masih terpakai dan senjata kita yang utama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya